Skuad sepak takraw lelaki negara berjaya menempah tiket ke final acara regu berpasukan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan Indonesia 2-1 dalam aksi separuh akhir.
Kemenangan tersebut turut membuka peluang buat Malaysia menamatkan penantian selama 36 tahun untuk kembali memenangi pingat emas dalam acara tersebut.
Beraksi di Gelanggang 2, Gimnasium Mizuho Park Nagoya City, pasukan kendalian Ahmad Jais Baharun terlebih dahulu ketinggalan sebelum bangkit mencatat kemenangan dramatik ke atas Indonesia.
Malaysia Bangkit Selepas Kalah Set Pertama
Regu pertama negara (Regu A) yang dibarisi Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Zawawi gagal memberikan mata pembukaan kepada Malaysia.
Mereka tewas kepada trio Indonesia yang terdiri daripada Saiful Rijal, Yudha Aswinatama dan Muhammad Hardiansyah Muliang dalam pertarungan sengit yang berakhir 15-10, 13-15 dan 13-15.
Malaysia bagaimanapun tidak mengambil masa lama untuk kembali menyamakan kedudukan. Trio Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam tampil dalam regu kedua (Regu B) dan berjaya menewaskan lawan dengan keputusan 15-10 dan 15-6.
Kedudukan 1-1 itu menyaksikan penentuan perlu dilakukan menerusi regu ketiga (Regu C).
Pada aksi penentuan tersebut, Zarif Marican, Amirul Zazwan dan Hafizul Hayazi, bersama pemain gantian Haziq Hairul, memastikan kebangkitan Malaysia disempurnakan.
Mereka menewaskan Indonesia 11-15, 15-11 dan 15-11 untuk mengesahkan kemenangan 2-1 serta tiket ke perlawanan akhir.
Malaysia Mara Ke Final Sepak Takraw Bertemu Thailand
Malaysia kini akan berdepan Thailand dalam perebutan pingat emas. Thailand terlebih dahulu memastikan kemaraan selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas tuan rumah, Jepun.
Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada jam 1 petang waktu Malaysia, Jumaat, 25 September. Boleh saksikan secara langsung menerusi saluran Astro Arena 801 atau secara live streaming di Sooka.
Pertembungan tersebut turut memberi peluang kepada Malaysia untuk menamatkan penantian panjang dalam acara ini. Kali terakhir negara memenangi pingat emas sepak takraw berpasukan di Sukan Asia adalah pada edisi 1990 di Beijing, China.






