Skuad hoki lelaki kebangsaan sekali lagi mempamerkan aksi bertenaga dalam saingan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila mencatat kemenangan besar 10-0 ke atas Thailand dalam perlawanan Kumpulan B di Stadium Kawasaki Juko, Kakamigahara, Gifu, hari ini.
Sukan Asia 2026 : Speedy Tigers Gah Tewaskan Thailand
Malaysia memulakan pesta gol pada minit ke-18 hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Faizal Saari. Muhajir Abdu Rauf kemudian menambah jaringan kedua hanya dua minit selepas itu, juga menerusi situasi pukulan sudut penalti.
Kelebihan Malaysia terus bertambah apabila Azrai Aizad Abu Kamal menjaringkan gol padang pada minit ke-21. Aminuddin Zain pula memastikan Malaysia menutup separuh masa pertama dengan empat gol selepas menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-28.
Memasuki suku ketiga, anak buah negara tidak memperlahankan rentak serangan. Faizal Saari mencatatkan gol keduanya pada minit ke-35 sebelum Ashran Hamsani turut menemui sasaran seminit kemudian untuk menjadikan kedudukan 6-0.
Azrai sekali lagi mencipta jaringan pada minit ke-41 apabila menghasilkan gol padang keduanya dalam perlawanan tersebut. Malaysia kemudiannya memasuki suku terakhir dengan kelebihan tujuh gol.
Dominasi Speedy Tigers berterusan sehingga tamat perlawanan apabila tiga lagi jaringan dihasilkan dalam suku keempat. Shello Silverius, Faiz Helmi Jali dan Akhimullah Anuar Esook masing-masing mencetak satu gol untuk melengkapkan kemenangan bergaya 10-0.
Keputusan itu menyambung permulaan positif Malaysia dalam Kumpulan B di Sukan Asia kali ini. Sebelum menewaskan Thailand, Speedy Tigers turut mencatat kemenangan 7-0 ke atas Uzbekistan dalam perlawanan pembukaan pada 20 September.
Sumber : Malaysian Hocket Federation






