Kejohanan sulung Piala ASEAN FIFA 2026 bakal mempertemukan 14 pasukan dari rantau Asia Tenggara dan negara jemputan dalam saingan yang dibahagikan kepada dua divisyen.
Format pertandingan ini direka bagi memastikan setiap pasukan beraksi dalam kumpulan masing-masing sebelum menentukan juara divisyen menerusi satu perlawanan akhir.
Format Pertandingan Piala ASEAN FIFA 2026
Bagi Divisyen 1, sebanyak lapan pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan yang masing-masing terdiri daripada empat pasukan.
BACA JUGA : Perlawanan Peringkat Kumpulan Piala ASEAN FIFA 2026
Untuk edisi sulung 2026, kumpulan A dibarisi pasukan Indonesia, Malaysia, Singapura dan India, manakala Kumpulan B pula terdiri daripada Filipina, Thailand, Vietnam dan Pakistan.
| Kumpulan A | Kumpulan B |
|---|---|
| Indonesia | Vietnam |
| India | Pakistan |
| Malaysia | Thailand |
| Singapura | Filipina |
Setiap pasukan akan menentang semua lawan dalam kumpulan masing-masing secara liga sepusingan bagi mengumpul mata sebanyak mungkin.
Sementara itu, Divisyen 2 melibatkan enam pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan dengan tiga pasukan setiap kumpulan.
Kumpulan A terdiri daripada Hong Kong, Myanmar dan Brunei, manakala Kumpulan B pula menghimpunkan Kemboja, Laos dan Timor-Leste.
Sama seperti Divisyen 1, semua pasukan akan bermain secara liga dalam kumpulan masing-masing sebelum kedudukan akhir ditentukan berdasarkan jumlah mata yang diperoleh.
| Kumpulan A | Kumpulan B |
|---|---|
| Hong Kong | Kemboja |
| Myanmar | Laos |
| Brunei | Timor-Leste |
Berbeza dengan kebanyakan kejohanan bola sepak antarabangsa, Piala ASEAN FIFA 2026 tidak menggunakan pusingan separuh akhir.
Sebaliknya, hanya juara Kumpulan A dan juara Kumpulan B bagi setiap divisyen akan layak ke perlawanan akhir. Ini bermakna hanya pasukan yang muncul sebagai pendahulu kumpulan berpeluang merebut kejuaraan.
Sebagai contoh, juara Kumpulan A Divisyen 1 akan bertemu juara Kumpulan B Divisyen 1 di pentas final, manakala format yang sama turut digunakan bagi Divisyen 2.
Seterusnya, naib juara, tempat ketiga dan tempat keempat bagi setiap kumpulan akan bertemu sesama sendiri bagi menentukan kedudukan akhir bagi setiap divisyen. Sebagai contoh di Divisyen 1; naib juara kumpulan A vs naib juara kumpulan B dan sebagainya.
Namun begitu, perlawanan ini adalah tertakluk kepada budi bicara penganjur. FIFA juga berhak mengubah format saingan mengikut keperluan sebelum atau semasa kejohanan berlangsung.
Format Tambahan
Bagi menentukan kedudukan pasukan dalam peringkat kumpulan sekiranya terdapat dua atau lebih pasukan berkongsi jumlah mata yang sama, beberapa kriteria akan digunakan.
Keutamaan pertama ialah jumlah mata yang diperoleh dalam perlawanan sesama pasukan yang terikat. Jika masih gagal membezakan kedudukan, perbezaan jaringan dalam perlawanan sesama mereka akan diambil kira.
Sekiranya keputusan masih seimbang, jumlah jaringan yang dijaringkan dalam perlawanan melibatkan pasukan-pasukan tersebut pula akan menjadi penentu.
Jadi setiap perlawanan menjadi amat penting dalam usaha merebut tempat ke pentas akhir dan seterusnya muncul sebagai juara edisi sulung kejohanan Piala ASEAN FIFA ini.






