Hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum tirai kejohanan Piala AFF Hyundai 2026 dibuka, namun para peminat bola sepak di Malaysia masih menunggu kepastian mengenai saluran yang akan menyiarkan kejohanan berprestij Asia Tenggara itu.
Sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada mana-mana stesen televisyen atau platform penstriman tempatan sama ada RTM atau Astro yang mengesahkan hak penyiaran untuk kejohanan tersebut.
Keadaan ini sudah tentu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong Harimau Malaya yang tidak mahu terlepas menyaksikan aksi skuad kebangsaan yang mana kejohanan ini dijadualkan bermula pada 24 Julai ini.

Ramai berharap dapat mengikuti setiap perlawanan secara langsung, lebih-lebih lagi apabila kejohanan ini menjadi pentas penting untuk Malaysia membuktikan kemampuan menentang pasukan-pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara.
Ketiadaan sebarang pengumuman rasmi menyebabkan peminat terus tertanya-tanya sama ada mereka akan dapat menonton perlawanan melalui saluran televisyen tempatan atau platform penstriman digital.
Tiada Penyiar Rasmi Dari Malaysia Untuk Piala AFF Hyundai 2026?
Dalam masa yang sama, ramai penyokong mula membandingkan situasi ini dengan kejohanan lain yang berjaya mendapat liputan meluas di Malaysia. Sebelum ini, siaran langsung bagi Piala Dunia FIFA 2026 dapat disediakan kepada penonton tempatan tanpa sebarang masalah.
Oleh itu, timbul persoalan mengapa sehingga kini masih belum ada kepastian mengenai siaran langsung membabitkan Harimau Malaya sendiri. Perkara tersebut menjadi topik hangat dalam kalangan peminat bola sepak yang berpendapat pasukan kebangsaan sepatutnya menerima perhatian dan liputan yang sama.
Walaupun belum ada sebarang pengesahan rasmi, penyokong masih berharap perkembangan positif akan diumumkan dalam masa terdekat, sekali gus dapat menonton kejohanan Piala AFF ini secara langsung di kaca tv.
Skuad negara yang diundi dalam kumpulan B dijadualkan akan bertemu Myanmar pada aksi pembukaan pada 25 Julai depan dan diikuti Laos selang 3 hari kemudian. Seterusnya bertemu Thailand pada 1 Ogos dan aksi terkahir kumpulan pada 8 Ogos dengan bertemu Filipina.






