Perlawanan terakhir peringkat kumpulan saingan AFC Champions League Elite (ACLE) 2025/26 bakal menyaksikan pertembungan JDT vs Vissel Kobe.
Ianya merupakan aksi penting membabitkan satu-satunya wakil Malaysia yang akan berdepan kelab gergasi Jepun pada 17 Februari 2026, jam 8:15 malam.
Pertembungan ini akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sekali gus memberi peluang kepada penyokong setia Harimau Selatan untuk hadir memberikan sokongan padu di laman sendiri.
Aksi Kelapan ACL Elite 2025/26
JDT vs Vissel Kobe
- Tarikh: Selasa, 17 Februari 2026
- Waktu: 8:15 malam
- Venue: Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri
- Siaran Langsung: Astro Arena Bola dan Sooka
Bagi penyokong yang ingin mengikuti perlawanan ini secara langsung, Astro Arena Bola menjadi satu-satunya saluran televisyen tempatan yang memegang hak rasmi penyiaran ACL Elite.
Selain itu, tontonan secara penstriman boleh dibuat menerusi aplikasi Astro Go atau platform Sooka.
Aksi JDT vs Vissel ini dianggap perlawanan penentuan buat skuad Harimau Selatan yang kini memikul tanggungjawab sebagai wakil tunggal negara dalam kejohanan tersebut. Kemenangan menjadi sasaran wajib sekiranya mereka mahu mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik.
Sekiranya keputusan seri diraih, laluan ke peringkat seterusnya masih belum terjamin. JDT perlu menunggu keputusan lain dengan harapan Ulsan HD dan Chengdu Rongcheng gagal mencatat kemenangan dalam perlawanan masing-masing.
Situasi ini menjadikan pertemuan menentang pendahulu kumpulan sebagai aksi yang cukup mendebarkan. Namun begitu, terdapat laporan bahawa Vissel Kobe dijangka merehatkan beberapa tonggak utama selepas lebih awal mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati.
Kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri pastinya perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak buah JDT. Momentum dan sokongan padu di laman sendiri mampu menjadi faktor pemisah dalam perlawanan sepenting ini.
Untuk rekod, ACL Elite menghimpunkan 24 kelab terbaik Asia dalam satu platform berprestij yang menawarkan ganjaran lumayan.
Juara kejohanan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$10 juta bersamaan kira-kira RM42.06 juta, manakala naib juara menerima AS$4 juta atau sekitar RM16.82 juta.
Ganjaran tersebut belum termasuk elaun perlawanan di tempat lawan serta bonus pencapaian bagi setiap kemenangan dan keputusan seri yang dicatatkan sepanjang kejohanan berlangsung.
Keputusan Perlawanan
FT : JDT (1) – (0) Vissel Kobe
- Marcos Guilherme 73′






